'Bukan kerana saya'
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/01/04

 

Foto

MISBUN termenung di pintu rumah Allahyarham ayahnya Datuk Sidek Kamar di Kanchong Darat, Banting semalam tanpa mengulas lanjut berhubung peletakan jawatannya sebagai jurulatih BAM.

 James Selvaraj dakwa Misbun ada masalah dengan pegawai lain

“SAYA bukan orangnya!” Itulah penafian dibuat Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj apabila ramai pihak menuding jari menuduhnya sebagai punca jurulatih perseorangan, Misbun Sidek meletak jawatan secara mengejut, Jumaat lalu.

“Misbun meletak jawatan bukan kerana saya tetapi dia mempunyai masalah lain yang mendorongnya berbuat demikian. Begitupun, saya tidak dapat menyatakannya,” katanya.
Beberapa pihak mendakwa James yang juga bekas pemain dan jurulatih yang dilantik BAM selaku Pengarah Prestasi Tinggi sejak 1 September lalu, menjadi faktor utama di sebalik peletakan jawatan Misbun.

Bukan menjadi rahsia tindakan BAM dan James merombak sistem kejurulatihan dan latihan sebelum ini dengan memperkenalkan sistem baru, kurang disenangi Misbun serta kalangan jurulatih lain.

Sementara itu, walaupun masih terkejut dengan peletakan jawatan Misbun, anak didiknya Lee Chong Wei berlepas ke Taiwan semalam dengan sasaran mempertahankan gelaran Kejohanan Siri Super Final Masters yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.5 juta), bermula esok.

Tiada secara fizikal, pemergian pemain nombor satu dunia itu bukan dengan tangan kosong kerana langkah Chong Wei diiringi kata-kata azimat Misbun yang berharap anak emasnya itu mempamerkan aksi terbaik.
“Walaupun Misbun tidak menemani saya, dia sempat berpesan supaya saya tidak memikirkan kemelut peletakan jawatannya, sebaliknya fokus di dalam gelanggang serta pulang dengan kejuaraan.

“Pesannya itu sedikit sebanyak meredakan kebimbangan saya tanpanya dan membuktikan dia mengambil berat mengenai diri saya,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pemergian Chong Wei yang dijadual ke Taiwan, ditemani penolong jurulatih, Tey Sue Bock.

Selain Masters Final, Chong Wei dijadual menyertai Terbuka Malaysia dari 18 hingga 23 dan Terbuka Korea (25-30) dengan turun selaku juara bertahan dalam ketiga-tiga kejohanan itu.

Namun sebelum melangkah masuk ke balai berlepas, Chong Wei sempat memberi kata dua: “Saya tidak akan berganjak daripada keputusan akan keluar daripada BAM seandainya kemelut ini gagal diselesaikan. Saya setia dengannya (Misbun) kerana dialah yang membuatkan saya berjaya hari ini.

“Saya mahu dia terus membimbing saya terutama dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik London 2012,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan