Ketika kamu dilahirkan, ibumu memelukmu erat memberikan susunya, mengusap kepalamu dengan penuh kasihnya, bersengkang mata hingga ke kejauhan malam bimbang tidurmu terganggu. Namun kamu membalasnya dengan berak dan kencingmu dan tangisan memecah malam yang sepi. Tapi ibumu tetap senyum menepuk dan memujukmu dengan dodoian lagu samar-samar lahir dari bibirnya.
Ketika usiamu melangkahi musim, kamu disuapkan nasi, dihayunkan dalam buaian, dimandikan air suam, disalinkan pakaian selalu dan mengajarmu bertatih. Namun kamu sepahkan makanan, bebal tak tentu punca, berak kencing merata. Tapi ibumu tetap merasa bahagia.
Ketika kamu mula berkata-kata, mengajuklah ibumu setiap kata-katamu, dibisiknya kata ‘emak, abah’sebagai kata yang mula. Namun bila besar ibumu tidak cantik di bibirmu. Tapi ibumu masih ibumu jua.
Ketika menghantarmu ke sekolah, kamu dipakaikan pakaian baru, dibekalkan sarapan takut anaknya lapar, menghantarmu dengan harapan menggunung, menyiap masakan dirumah menunggu anaknya pulang. Namun hasrat ibumu kamu musnahkan disekolah dengan membantah cakap guru, malas buat latihan, membuang masa, tidak berusaha membina diri, melakukan perkara yang ditegah oleh sekolah dan masyarakat.
Namun ibumu tetap menyayangimu kerana kamu adalah anaknya, linangan air mata ketika mengadap pengetua menjelaskan segala kasihnya. Basah tudungnya oleh usapan air mata membayangkan kesalannya. Tunduk mukanya bersama kerutan wajah dan suara yang tertahan tidak pernah disangka akan terpaksa dizahirkan untuk membayangkan kesedihannya atas apa yang dibalas oleh anaknya.
Itulah sebahagian dari insan yang lupa pada pengorbanan dan harapan ibu mereka. Apakah anda ada termasuk dalam golongan ini. Atau ada sebahagian perkara pernah terjadi pada anda? Insaflah! Sementara kita masih boleh berpaling. Sementara kita masih ada ibu.
RAUNGAN INSAN BERNAMA IBU
Dari beberapa banyak mel(kiriman menerusi internet)yang diterima, terdapat satu luahan rasa seorang insan yang menginsafi kesilapannya kepada ibunya yang telah kembali ke Rahmatullah. Beliau telah menemui satu sajak yang ditulis oleh ibunya sebelum ibunya meninggal. Dipaparkan sajak ini untuk renungan bersama.
INILAH MASANYA
Jika kau ingin menyintai ibu
Cintalah ibu sekarang supaya ibu tahu
Keindahan dan kelembutan kasih
Yang mengalir kudus daripada sanubarimu
Cintalah ibu sekarang
Semasa ibu masih hidup
Usah tunggu sehingga ibu telah pergi
Kemudian barulah diukir di batu nisan
Dengan kata kata indah pada sekujur batu yang sepi
Jika kau memiliki ingatan manis buat diri ibu
Tunjukkanlah pada ibu sekarang
Jika kau tunggu sehingga ibu mati
Sudah pasti ibu tidak dapat mendengar
Kerana kita dibatasi kelemahan
Oleh itu, jika kau menyintai ibu
Walaupun hanya secebis daripada lautan hidupmu
Lafazkan dan buktikan sekarang
Sementara ibu masih hidup
Agar ibu dapat menikmati dan menyanjunginya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan